Pengertian dan Sejarah Sambutan Maulidur
Rasul
Perayaan Maulidur rasul telah diasaskan
oleh kerajaan Fatimiah di Mesir. Kerajaan Fatimah telah merayakan perayaan ini
secara besar-besaran. Bukan hanya hari jadi Rasulullah saw sahaja yang
dirayakan, tetapi juga ahli keluarga Nabi saw seperti Zainab, Hassan, Hussain
(r.a.). juga dirayakan. Bahkan mereka juga merayakan kelahiran Nabi Isa as.
Walaubagaimanapun, semua perayaan ini telah dihentikan pada tahun 488 atas
perintah Perdana Menteri al-Afdal Shahindah pada ketika itu yang berpegang kuat
pada sunnah seperti tercatit di dalam buku Al-Kamel, karangan Ibnu Al-Atheer.
Masyarakat berhenti merayakannya sehingga Al-Ma'moon Al-Bataa'ni memegang kuasa
kerajaan. Beliau telah yang memulakan kembali perayaan yang telah dihentikan
sebelum itu. Apabila Kerajaan al-Ayubbiah merampas kuasa, semua perayaan telah
dihentikan. Namun begitu, masyarakat tetap merayakannya dikalangan keluarga
mereka di dalam rumah. Pada Abad ke 7, Putera Muzafar Al-Deen Abi Sa'd Kawakbri
Ibn Zein Ed-Deen `Ali- Ibn Tabakatikin telah mewartakan perayaan Maulid Nabi di
Bandar Irbil. Beliau merupakan seorang sunni. Muzafar mengambil berat akan
perayaan ini sehingga memerintahkan agar persediaan seperti mendirikan khemah,
menghias khemah dan pelbagai lagi dilaksanakan seawal dan sebaik mungkin.
Setiap kali selepas solat Asar, Muzafar akan menyaksikan perayaan ini di dalam
khemah yang telah didirikan itu. Perayaan diadakan pada 8 Rabiulawal dan
kadang-kadang 12 Rabiulawal.
Sambutannya diisikan dengan pelbagai acara
antaranya membaca sejarah Nabi ( s.a.w.) sehinggalah kepada menghias binatang
ternakan untuk disembelih kemudian diadakan jamuan besar-besaran. Berkata Ibnu
Haajj Abu Abdullah Al-Abdari, perayaan tersebut tersebar luas di seluruh Mesir
pada zaman pemerintahan Putera Muzafar ini. Beliau menentang akan perayaan yang
diadakan. Banyak buku telah ditulis mengenai perayan Maulidur Rasul ini antara
penulisnya ialah Ibn Dahya, meniggal dunia pada 633, Muhy Ed-Deen Ibn
Al-`Arabi, meniggal di Damascus pada 683, Ibn Taghrabik, meniggal di Mesir pada
670, dan Ahmad Al-`Azli dan anaknya Muhammad, meniggal di Sebata pada 670. Oleh
kerana amalan bid'ah yang banyak ketika perayaan itu, ulama' telah berbeza
pendapat akan kebolehan merayakan Maulid Nabi ini. Pendapat pertama membolehkan
perayaan ini manakala pendapat yang kedua mengatakan sebaliknya. Antara yang
membolehkan ialah As-Siyooti, Ibn Hajar Al-`Asqalaani dan Ibn Hajar Al-Haythmi.
Walaupun mereka bersetuju dengan perayaan ini, mereka tetap membangkang aturcara
ketika Maulid itu(pada zamannya). *HUKUM MAULID *
Seperti yang telah diketahui,
perayaan Maulidur Rasul ini merupakan satu perayaan yang kontroversi. Ulama'
berbeza pendapat akan kebolehan perayaan ini. Kita sebagai masyarakat awam
tersepit antara dua pendapat. Yang mana perlu kita turuti. Sedangkan kedua-dua
belah pihak terdiri daripada ulama'-ulama' yang hebat dan tidak boleh ditolak
lagi akan kewibawaan mereka. Di dalam artikel ini, akan dilampirkan kedua-dua
belah hujah setakat mana yang mampu dikumpulkan. Melalui cara ini, kita dapat
menilai sendiri yang manakah mempunyai hujah yang kuat. Dan insya Allah, kita
akan berada di jalan yang benar. *HUJAH MEMBOLEHKAN MAULIDUR RASUL*
Antara ulama' yang menyokong akan Maulidur Rasul ialah Imam Jalaluddin Sayuti
dan Sayid Ahmad bin Zaini Dahlan. Telah berkata Imam Jalaluddin Sayuti:
"Ibadat macam itu adalah bid'ah Hasanah (bid'ah baik) yang diberi pahala
mengerjakannya kerana dalam amal ibadat itu terdapat suasana membesarkan Nabi,
melahirkan kesukaan dan kegembiraan atas lahirnya Nabi Muhammad SAW yang
mulia". Dan berkata Sayid Ahmad bin Zaini Dahlan: "Telah berlaku
kebiasaan bahawa orang apabila mendengar kisah Nabi dilahirkan, maka ketika
Nabi lahir itu mereka berdiri bersama-sama untuk meghormati dan membesarkan
Nabi Muhammad saw.
Berdiri itu adalah hal yang mustahsan (bai) kerana dasarnya
ialah membesarkan Nabi Muhammad saw dan sesungguhnya telah mengerjakan hal
serupa itu banyak dari ulama-ulama ikutan umat." Berkata pula Syeikh Atiah
Saqr: "Saya berpendapat tidak menjadi kesalahan untuk menyambut maulid.
Apatah lagi di zaman ini pemuda pemudi Islam semakin lupa dengan agama dan
kemuliannya. Perlu juga diingat sambutan tersebut janganlah dicemari oleh
perkara-perkara haram dan bid'ah. Seperti pergaulan antara lelaki dan wanita
tanpa batas. Kita juga tidak sewajarnya menjadikan sambutan ini sebagai satu
tradisi yang khusus, sehingga timbul dalam kefahaman masyarakat jika sesuatu
acara tidak dilansungkan maka seseorang itu dikira telah berdosa dan melanggar
syariat." Syeikh Yusuf Qardawi juga telah memberi komen mengenai maulid
ini. Beliau berkata(ringkasan): "Semua telah sedia maklum bahawa
sahabat-sahabat Rasulullah saw tidak merayakan hari kelahiran Rasulullah saw.
Ini adalah kerana mereka telah menyaksikan secara langsung setiap gerak-geri
Rasulullah saw dan seterusnya ingatan terhadap Rasulullah saw itu kekal di
dalam hati dan juga ingatan. Sa'd Abi Waqas mengatakan bahawa beliau begitu
ghairah untuk menceritakan mengenai Rasulullah saw kepada kanak-kanak sama
sepertiman keghairahan mereka mendidik anak-anak itu Al-Quran.
Oleh kerana
mereka sering menceritakan sejarah perjuangan Rasulullah saw, maka tidak
perlulah mereka merayakan sepertimana dirayakan Maulid ar-Rasul kini.
Walaubagaimanapun, generasi terkemudian telah mula melupakan kegemilangan
sejarah Islam dan kesannya. Dengan itu, perayaan Maulid Rasul ini diadakan
bertujuan untuk mengingati sejarah Islam ketika Rasulullah saw masih hidup.
Tetapi malangnya, Maulid Rasul ini telah bercampur dengan amalan bid'ah yang
ditentang oleh Islam. Sebenarnya, meraikan hari kelahiran nabi bermakna
meraikan hari kelahiran Islam. Maka dibolehkan meraikan Maulid nabi ini dengan
syarat tidak dicampur-adukkan dengan perkara-perkara bid'ah. Tetapi sebaliknya
diisi dengan ceramah yang menceritakan akan sejarah Islam."
*Berikut
adalah antara dalil-dalil yang menjadi hujah bagi yang membolehkan Maulid ini:*
1) Allah berfirman: "maka orang yang beriman kepadanya (Muhammad saw)
memuliakannya, menolongnya dan mengikuti cahaya yang terang yang diturunkan
kepadanya (Al-Quran) mereka itulah yang beruntung." - Al-Araf: 157
Keterangan: Tujuan maulud diadakan adalah untuk memuliakan Nabi Muhammad saw.
Maka perayaan maulud masuk dalam umum ayat tersebut.
2) Firman Allah: "Dan
ingatkanlah mereka dengan hari-hari Allah."-Ibrahim. Ayat 5 Keterangan:
Al-Baihaqi di dalam "Syakbu al-Iman" daripada Ubai bin Kaab daripada
Nabi saw, sesungguhnya baginda menafsirkan 'hari-hari Allah' ialah hari-hari
nikmat dan kurniaan Allah. Al-Alusi dalam Ruh al-Ma'ani menjelaskan lagi dengan
katanya "kelahiran Nabi saw merupakan nikmat yang paling besar."
3)
Bahawasanya Nabi Muhammad saw datang ke Madinah maka beliau mendapati
orang-orang yahudi berpuasa pada hari Asyura iaitu hari 10 Muharram, maka Nabi
bertanya kepada orang yahudi itu: "Kenapa kamu berpuasa pada hari
Asyura?" Jawab mereka: "Ini adalah hari peringatan, pada hari serupa
itu dikaramkan Firaun dan pada hari serupa itu Musa dibebaskan, kami berpuasa
kerana bersyukur kepada Tuhan." Maka Nabi berkata: "Kami lebih patut
menghormati Musa berbanding kamu." – [Riwayat Bukhari dan Muslim.] Ibnu
Hajar Al-Asqalani pengarang Syarah Bukhari yang bernama Fathul Bari berkata
bahawa dari hadis ini dapat dipetik hukum: - Umat Islam dibolehkan bahkan
dianjurkan memperingati hari-hari bersejarah, hari-hari yang dianggap besar
umpamanya hari-hari maulud, mi'raj dan lain-lain. - Nabi pun memperingati hari
karamnya Firaun dan bebasnya Musa dengan melakukan puasa Asyura sebagai
bersyukur atas hapusnya yang batil dan tegaknya yang hak.
4) Dalam sahih Muslim
daripada Abi Qatadah al-Ansari berkata: Nabi (s.a.w.) telah ditanya tentang
puasa pada hari Isnin lalu baginda bersabda: "Di hari tersebutlah aku
dilahirkan dan di hari tersebut jugalah aku diutuskan." Keterangan: Rasul
saw menegaskan kelebihan hari kelahirannya berbanding hari-hari lain. Oleh itu
setiap mukmin sewajarnya berlumba-lumba beramal dan bersyukur dengan kelahiran
baginda saw yang membawa rahmat kepada seluruh alam. *HUJAH MENENTANG MAULIDUR
RASUL*
Berikut antara pendapat yang menentang
bersertakan hujah mereka:
1)Nabi Muhammad saw tidak pernah
merayakan atau menyuruh umatnya untuk merayakan hari kelahirannya. Nabi saw
telah menekankan agar jangan memperbesarkannya sepertimana orang kristian
memperbesarkan Nabi Isa as. Ini dijelaskan di dalam hadis riwayat Bukhari:
Baginda bersabda, "Jangan memperbesarkan mengenai aku seperti Kristian
memperbesarkan mengenai anak Maryam. Aku hanyalah hamba, jadi katakanlah,
'hamba Allah dan pesuruh Nya."(Au Qoma Qol) Apa yang telah disuruh
Rasulullah saw hanyalah menyuruh umatnya menjadikan hari kelahirannya satu hari
untuk beribadat yang mana berbeza dengan perayaan. Bertepatanlah dengan hadis
di bawah: Dalam sahih Muslim daripada Abi Qatadah al-Ansari berkata: Nabi (s.a.w.)
telah ditanya tentang puasa pada hari Isnin lalu baginda bersabda: "Di
hari tersebutlah aku dilahirkan dan di hari tersebut jugalah aku
diutuskan." "…Dan hendaklah kamu menjauhi perkara-perkara yang
diada-adakan , kerana setiap yang diada-adakan itu adalah bid'ah , dan setiap
bid'ah itu adalah sesat " . [Diriwayatkan oleh Imam Abu Daud]
2)Para sahabat Rasulullah dan juga umat
Rasulullah saw pada 3 abad kemudian tidak pernah merayakannya walaupun
merekalah orang yang lebih mencintai Rasulullah saw lebih dari umat
terkemudian.. Hadis Imran bin Husain r.a: Rasulullah s.a.w bersabda:
Sesungguhnya yang terbaik dari kalangan kamu ialah sezaman denganku, kemudian
orang yang hidup selepas zaman aku, setelah itu orang yang hidup selepas
mereka. Imran berkata: Aku tidak mengetahui kenapakah Rasulullah s.a.w menyebut
selepas kurunnya sebanyak dua atau tiga kali. Selepas itu datang satu kaum yang
diminta memberi penyaksian tetapi tidak di beri penyaksian, yang berkhianat
sehingga tidak boleh dipercayai, yang suka bernazar tetapi tidak
melaksanakannya dan sukakan kemewahan. Perayaan Maulid Nabi datang beberapa
abad kemudian yang mana ciri-ciri Agama Islam yang sebenar sudah hilang dan
bid'ah berleluasa.
3)Allah berfirman di dalam Al-Quran:
Katakanlah, "Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku,
niscaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu,Sesungguhnya Allah Maha
Pengampun lagi Maha Penyayang. " Katakanlah, "Taatilah Allah dan
Rasul-Nya; Jika kamu berpaling, maka sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang
kafir". (QS. 3:31-32) Ayat di atas menerangkan cara menunjukkan kasih
sayang yang sebenar yang patut dilakukan kepada Rasulullah saw. Ayat yang
pertama di atas menjelaskan bahawa cinta itu hanyalah pengakuan, tetapi
buktinya ialah menuruti apa yang Rasulullah saw bawakan. Manakla ayat kedua
menekankan kepentingan dalam menuruti kehendak Allah dan Rasul Nya. Allah
menyudahi ayat di atas dengan ancaman yang keras bahawa sesiapa yang tidak mahu
mentaati adalah kafir dan Allah tidak mencintai orang kafir. Pada hari ini
telah Kusempurnakan untuk kamu agamamu dan telah Ku-cukupkan kepadamu
nikmat-Ku, dan telah Ku-ridhai Islam itu jadi agamamu. (QS. 5:3) Sesungguhnya
telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (yaitu) bagi
orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak
menyebut Allah. (QS. 33:21)
4)Kata-kata sahabat Rasulullah saw:
Huzaufah Ibnu Al-Yamaan ra berkata : "Setiap ibadah yg tidak dilakukan
oleh sahabat Rasulullah saw, maka janganlah melakukannya" Dan berkata Ibnu
Mas'ud :"Ikutlah (sunnah) dan jangan menambah, dan telah cukup bagi kamu -
perbuatan yg lama (kekal dengan cara lama)"